Wednesday, 11 August 2010

~ Ramadhan Datang Lagi ~

RAMADAN AL-MUBARAK BULAN MENGGANDAKAN IBADAH

Berpuasa pada bulan Ramadan merupakan salah satu kefarduan bagi seluruh umat Islam yang bergelar mukalaf. Ini difahami daripada firman Allah s.w.t., “Wahai orang-orang yang beriman, telah difardukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah difardukan ke atas mereka yang sebelum daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 183). Ramadan adalah bulan yang sepatutnya menjadi impian orang mukmin untuk menjejakkan kaki mereka ke dalamnya dan bersungguh-sungguh melipatgandakan amalan. Ini kerana bulan Ramadan sahaja yang menjanjikan pahala berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan yang lain. Malah bulan ini juga menjanjikan keampunan daripada Allah s.w.t. sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w.: Daripada Abi Hurairah, Nabi bersabda, solat lima waktu, solat Jumaat sampai solat Jumaat berikutnya, puasa Ramadan sampai puasa Ramadan berikutnya adalah penebus kepada dosa-dosa (kecil) yang dilakukan antara kedua-duanya bila dosa-dosa besar dijauhi. (Riwayat Muslim)

Selain itu juga, bulan mulia ini juga dicemari dengan gambaran yang negatif seperti bulan yang letih, lapar, dahaga, tidak produktif, kurang proaktif dan sebagainya. Pada hakikatnya bulan Ramadan adalah bulan yang sepatutnya menjadikan umat Islam agar lebih produktif, proaktif, aktif dan bertenaga berusaha menjanakan kekuatan untuk memperbanyakkan ibadah dan mentaqarrubkan diri kepada Allah. Oleh itu, tanggapan negatif terhadap Ramadan wajar dihilangkan dengan memberi pemahaman yang tepat berkaitan bulan ini.

Antara bentuk persediaan terbaik ialah:
Pertamanya: Kita hendaklah sentiasa berdoa agar diberi peluang dan berkesempatan bertemu Ramadan tahun ini. Di samping itu, hendaklah dipohon agar dikurniakan kesihatan tubuh badan supaya dapat melakukan seberapa banyak ibadat pada bulan tersebut.

Kedua: Mengulangkaji serta mendalami ilmu-ilmu yang berkaitan dengan ibadah puasa sama ada melalui pembacaan, pertanyaan, menghadiri kuliah agama dan sebagainya. Antara ilmu-ilmu tersebut, dari segi fikah merangkumi persoalan rukun puasa, syarat puasa, syarat sah puasa, perkara-perkara yang membatalkan puasa dan sebagainya.

Sekiranya cadangan persediaan awal Ramadan ini dihayati, maka untuk membuahkan puasa yang berkualiti akan lebih mudah dicapai. Pada masa yang sama, ia menjadikan semua gerak kerja kita seharian sebagai ibadah. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda lagi, “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan ketaatan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari)
Inilah antara kemurahan Allah kepada umat Nabi Muhammad.

Sabda Rasulullah s.a.w., “Telah diberikan kepada umatku pada bulan Ramadan perkara yang belum pernah diberikan kepada seseorang nabi sebelumku.

Pertama, pada permulaan bulan Ramadan Allah melihat kepada umatku, barang siapa Allah melihat kepadanya, maka dia tidak akan diazab selama-lamanya.

Kedua, bau mulut mereka pada waktu petang lebih wangi di sisi Allah daripada bauan kasturi.

Ketiga, para malaikat memohon ampun untuk mereka pada setiap hari dan malam.

Keempat, Allah menyuruh kepada syurganya serta berkata kepadanya bersiap sedialah kamu dan berhiaslah kamu untuk hamba-hamba-Ku, mereka hampir beristirehat daripada kepayahan dunia menuju ke negeri-Ku dan kemuliaan-Ku.

Kelima, pada akhir bulan Ramadan Allah mengampuni semua dosa mereka, seorang lelaki daripada kalangan sahabat bertanya: Adakah itu malam Lailatul Qadar, wahai Rasulullah? Nabi menjawab: Tidak, Apakah engkau tidak melihat kepada pekerja-pekerja yang bekerja, apabila mereka telah selesai daripada pekerjaan mereka, maka diberikan upah-upah mereka.”

Selamat mengerjakan ibadah puasa

Salam Ramadan,

0 comments:

Copyright © NOR AZIZAH ZAINUDIN | Powered by Blogger
Design by Blog Oh! Blog | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com