Tuesday, 22 March 2011

+ ‘Rakyat perlu hargai sumber air bersih’ +


USAHA memperkasakan pengurusan air yang lebih berkualiti bukan hanya bergantung kepada Kerajaan Persekutuan kerana sumber air terletak di bawah bidang kuasa negeri, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Oleh itu, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu bekerjasama dan berkompromi dalam menyelesai isu air demi kepentingan umum dan negara. 

“Kerajaan negeri perlu melakukan apa saja untuk melindungi air mereka daripada tercemar. Pengurusan air kurang efektif boleh menyebabkan pencemaran di kawasan tadahan air. 


USAHA memperkasakan pengurusan air yang lebih berkualiti bukan hanya bergantung kepada Kerajaan Persekutuan kerana sumber air terletak di bawah bidang kuasa negeri, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Oleh itu, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu bekerjasama dan berkompromi dalam menyelesai isu air demi kepentingan umum dan negara.
“Kerajaan negeri perlu melakukan apa saja untuk melindungi air mereka daripada tercemar. Pengurusan air kurang efektif boleh menyebabkan pencemaran di kawasan tadahan air.
“Di peringkat pusat, kita mempunyai peranan seperti menyediakan peruntukan untuk membina loji rawatan air dan sistem bekalan air dirawat kepada pengguna. Jika kita boleh satukan tindakan kita, industri air akan menjadi lebih baik.

“Malangnya, masalah terus timbul kerana kurang sinergi. Kita mesti ingat yang air membabitkan semua pihak, di kedua-dua pihak. Tidak kira sama ada kamu adalah pembangkang atau parti pemerintah,” katanya kepada News Straits Times dalam temu bual ekslusif sempena sambutan Hari Air Sedunia 2011, hari ini.

Ditanya berapakah markah yang beliau berikan kepada sistem pengurusan air di Malaysia, dalam skala satu (lemah) hingga lima (cemerlang), Fah Kui berkata: “Dua setengah markah”.

Ini bermakna, banyak lagi ruang untuk menambah baik sistem pengurusan air di negara ini.
“Bila ramai bertanya kepada saya mengenai kebolehan Malaysia untuk menguruskan isu air, saya gembira kerana sekurang-kurangnya Malaysia mempunyai Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 iaitu kerangka undang-undang yang boleh menjadi panduan,” katanya.

Beliau berkata, semua negara mempunyai isu tersendiri, namun ada pihak mengatakan Malaysia kini berada pada landasan yang betul dalam menangani isu air dengan sokongan kerangka undang-undang pusat seperti WSIA.

“Penguatkuasaan WSIA sejak 1 Januari 2008 sudah menambah baik industri perkhidmatan air secara lebih efektif. Kerjasama dan sokongan daripada pelbagai kementerian dan agensi, kerajaan negeri dan orang awam, termasuk syarikat air serta pihak terbabit lain dalam membangunkan sistem bekalan air dan pembetungan diperlukan bagi memastikan pengurusan air negara lebih efektif,” katanya.

Dalam konteks ini, Fah Kui menggesa semua jabatan dan lembaga air negeri yang belum diswastakan dan melakukan transisi pelesenan mengikut WSIA untuk berbuat demikian.

“Air tidak sepatutnya dipolitikkan. Kita sepatutnya meletakkan kepentingan rakyat dan negara dalam hal ini,” katanya.

Beliau juga merayu kepada mana-mana pengurusan berkaitan industri air untuk menerima WSIA dengan segera, seboleh-bolehnya menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, penubuhan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), yang juga syarikat pengurusan aset air dimiliki Kementerian Kewangan Diperbadankan, adalah sebahagian usaha Kerajaan Pusat untuk menstruktur semula industri air negara.

Matlamat PAAB adalah untuk menambah baik, menyelenggara dan membaiki infrastruktur air dan aset lain yang berkaitan industri air.

Ia juga berperanan mendapatkan sumber kewangan kompetitif bagi pembangunan aset air negara selain menyewakan aset itu kepada operator air berlesen dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi operasi dan penyelenggaraan.

Menyentuh tema Hari Air Sedunia, ‘Water for Cities – Responding to The Urban Challenge’, Fah Kui berkata: “Fokus kepada masalah air di bandar, termasuk masalah sanitasi tepat pada masanya. Ia adalah masa yang sesuai untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat bandar mengenai bagaimana air bersih disalurkan ke rumah mereka setiap hari.”

Beliau juga menggesa orang ramai supaya sedar akan kepentingan pengurusan air secara optimum adalah untuk kebaikan generasi akan datang.

0 comments:

Copyright © NOR AZIZAH ZAINUDIN | Powered by Blogger
Design by Blog Oh! Blog | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com