Wednesday, 2 March 2011

+ Terminal bas ke selatan mula operasi penuh +



PENUMPANG beratur membeli tiket perkhidmatan bas ekspres ke arah selatan di TBS-BTS, semalam.
 
PENUMPANG beratur membeli tiket perkhidmatan bas ekspres ke arah selatan di TBS-BTS, semalam.
56 operator bas ekspres berpindah dari Bukit Jalil

KUALA LUMPUR: Selepas dua bulan dilanda pelbagai kontroversi, Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) yang dibuka kepada orang ramai sejak 1 Januari lalu, beroperasi sepenuhnya tanpa sebarang masalah, semalam.
Tinjauan Berita Harian di terminal itu semalam mendapati semua 56 operator bas ekspres bagi laluan selatan membabitkan lebih 1,900 bas beroperasi dari hab pengangkutan awam berkenaan selepas berpindah dari Terminal Bas Sementara di Bukit Jalil. 

Semalam adalah tarikh akhir perpindahan bagi operator semua bas ekspres laluan selatan seperti ditetapkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Operator terbabit beroperasi menggunakan 20 kaunter tiket disediakan operator TBS-BTS iaitu Maju Terminal Management and Services (Maju TMAS) selain 30 kaunter tambahan yang disediakan Maju TMAS bagi pengusaha bas yang mempunyai sistem e-tiket sendiri.

Operator syarikat bas Jebat Ekspres Sdn Bhd dan Cepat Sedia Tours and Ekspres Transport SB, Eugene Soh, berkata integrasi sistem tiket perlu diselesaikan segera bagi mengelak penumpang tersalah menaiki trip perjalanan,

Katanya, ketika ini operator bas terpaksa menulis secara manual dan menggunakan kertas bagi memaklumkan waktu serta destinasi perjalanan kepada penumpang.
Beberapa penumpang yang enggan dikenali meminta Maju TMAS memaklumkan kepada penumpang mengenai kewujudan dua kawasan jualan tiket bas ekspres iaitu kaunter utama dikendalikan Maju TMAS dan kaunter tambahan.

Sementara itu, Pengurus Komunikasi Korporat Kumpulan Maju Holdings, Badrul Izhan Yeop Abdullah ketika dihubungi berkata, masalah integrasi sistem jualan tiket akan diatasi dalam tempoh terdekat.

Difahamkan, semua operator bas perlu menghantar jadual perjalanan bas dua minggu lebih awal bagi diselaraskan dalam sistem paparan maklumat dan sebarang pindaan hendaklah dibuat dalam masa 24 jam.

Terminal enam tingkat yang dibina dengan kos RM570 juta itu dilengkapi dengan 55 platform untuk menempatkan 1,000 bas keluar masuk setiap hari, 150 perhentian teksi dan 1,000 tempat letak kereta termasuk kawasan letak kereta khas untuk wanita.

Tinjauan Berita Harian ke Terminal Bas Sementara Bukit Jalil pula mendapati berlaku kekeliruan di kalangan penumpang berikutan ketiadaan notis makluman perpindahan laluan ke Selatan.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dari Pahang, Noordayana Noordin, 22, berkata dia dan rakannya tidak tahu mengenai perpindahan terminal bas itu ke TBS-BTS sehingga menyebabkan mereka mencari kaunter tiket bas ke Selatan kerana tiada papan tanda makluman dipasang pada pintu masuk utama.
 





0 comments:

Copyright © NOR AZIZAH ZAINUDIN | Powered by Blogger
Design by Blog Oh! Blog | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com