Assalammualaikum dan selamat pagi Malaysia!!
Dalam sedar tak sedar tinggal 14 hari lagi kita akan meninggalkan tahun 2013. Tahun yang bagi aku, banyak meninggalkan cerita suka dan duka. Banyak perkara yang berlaku tanpa dirancang dan semuanya adalah ketentuan Illahi.
Telah menjadi lumrah kehidupan, setiap yang hidup pasti akan mati. Sesungguhnya Allah berfirman yang bermaksud: “Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali.” (Surah al-Anbiyak ayat 35).
Kejadian yang paling terkesan di hati adalah kehilangan 3 orang sahabat dan seorang bapa saudara yang aku sayangi. Pemergian mereka sangat aku rasakan. Biarpun kami tidak serapat mana tapi kenangan yang tercipta antara kami adalah sangat berharga. Tunjuk ajar dan nasihat mereka akan sentiasa menjadi ingatan pada aku. Semoga roh mereka dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.
Banyak perkara yang berlaku pada tahun 2013 dan kalau hendak diceritakan kesemuanya memang tidak akan habis. Kalau ditanya, apa yang perkara yang paling bermakna berlaku pada tahun 2013 bagi aku semua pun membawa maknanya yang tersendiri. Apa sahaja yang berlaku tahun ni sama ada suka, duka, baik dan buruk mendatangkan pengajaran buat aku meneruskan kehidupan sebagai hamba Allah, isteri, anak, sahabat dan pekerja yang baik.
Semoga kedatangan tahun 2014 akan membawa pelbagai warna-warni kemanisan yang akan menceriakan kehidupan aku dan keluarga. Aku akan juga sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri dari masa ke semasa dan akan sentiasa terus mencari redha Illahi demi kebahagiaan dunia dan di akhirat. Insya-Allah.
Selamat tinggal 2013 dan selamat datang 2014!!
0 comments:
Post a Comment