Tuesday, 3 January 2017

+ Hari Pertama Persekolahan +

Kawan-kawan pernah bertanya kepada saya, “Jah, apa yang kau ingat masa mula-mula masuk sekolah dulu?”

Berkerut-kerut dahi hendak menjawab. Cuba mengimbas memori yang lebih dua puluh (20) tahun ditinggalkan. Sukar dan terlalu sukar!

Sejujurnya, saya orang yang agak susah untuk mengingati perkara-perkara yang lepas kecuali peristiwa tersebut memberi kesan yang mendalam kepada diri saya.

Kebanyakkan kisah-kisah di zaman sekolah rendah hanya terimbau kembali apabila diceritakan semula oleh rakan-rakan kepada saya.

Barulah saya akan ingat semula momen suka dan duka ketika bersekolah dahulu. Seronok apabila dapat mengimbas kembali kisah-kisah tersebut, tambahan lagi kalau ada kenangan bergambar.

Semasa sekolah rendah, hanya ada satu kisah yang tidak mungkin akan dilupakan sampai bila-bila.
Seingat saya ketika itu, sesi persekolahan baru sahaja bermula dan saya berada di dalam darjah empat.

Bersama-sama satu sekolah dengan saya adalah adik beradik yang lain iaitu abang darjah enam, adik lelaki darjah dua dan adik perempuan darjah satu.

Emak dan abah terpaksa menambah kewangan untuk menanggung perbelanjaan sekolah kami empat beradik pada tahun tersebut. Dengan pendapatan yang tidak seberapa, bayangkanlah bagaimana mereka mahu membeli keperluan sekolah anak-anak secara serentak.

Mereka hanya mampu membeli seragam sekolah dan buku baru untuk adik-adik saya sahaja. Saya dan abang ke sekolah pada waktu itu dengan baju lama dan tanpa buku tulis baru.

Perasaan saya? Positif sahaja. Baju dan buku yang lama masih boleh digunakan lagi. Lagipun, di minggu awal persekolahan sesi pembelajaran hanya yang ringan-ringan sahaja.

Ketiadaan buku tulis kadang-kadang menimbulkan kegusaran di hati.

‘Di mana mahu tulis, kalau tiada buku?’

‘Macam mana kalau cikgu tanya pasal buku?’

‘Malulah kalau tidak ada buku!’

Tetapi perasaan itu terpaksa dibuang jauh demi untuk meneruskan pelajaran. Buat seolah-olah tiada apa yang akan berlaku, dengan harapan semuanya akan baik-baik belaka.

Kami sudah terbiasa begitu, baju dan buku dibeli sedikit demi sedikit bukannya sekaligus. Ada kalanya selepas sebulan baru dapat merasa baju dan kasut baru. Buku pun begitu juga, selepas seminggu baru dapat menulis di buku baru.

Pada masa emak dan abah runsing memikirkan anak-anak di sekolah, Allah telah datangkan bantuan. Ketika saya berjalan di luar kelas, secara tiba-tiba ada orang datang menghantar buku kepada saya.
Buku-buku baru!

“Eh, betul ke semua buku ni untuk saya?” saya terkejut dan terkebil-kebil.

Setelah diselidik, rupa-rupanya sahabat abah yang datang menghulurkan bantuan. Beliau terus membelikan buku untuk saya dan abang, sebaik mengetahui kami belum punya buku baru.

Ya Allah! Sungguh saya terharu.

Alhamdulillah, syukur! Itu sahaja yang termampu diucapkan.

Saya yang ketika itu masih belum mengerti apa-apa, menerima pemberian tersebut dengan hati dan tangan terbuka.

Orang memberi, kita merasa.

Saat itu, saya berazam untuk menjadi seperti sahabat abah. Membantu orang dalam kesusahan!

Terima kasih Pak cik A! Jasa pak cik akan dikenang selamanya.

Walaupun pak cik bukan darah daging kami atau pun sesiapa buat kami tapi pak cik sangat bermurah hati kepada kami.

Saat orang lain tidak melihat kesusahan kami, pak cik yang pertama memberi bantuan.

Walau di mana pak cik berada sekarang ini, saya doakan semoga Allah melimpahkan kebaikan dan rahmat buat pak cik dan keluarga.

Semoga pak cik juga diberikan ganjaran bagi setiap perkataan yang ditulis di dalam buku-buku tersebut.

Azizah Zainudin
Sangat menghargai buku.

1 comments:

Misa said...
This comment has been removed by the author.
Copyright © NOR AZIZAH ZAINUDIN | Powered by Blogger
Design by Blog Oh! Blog | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com