Tuesday, 8 March 2016

+ Happy International Women’s Day +

8 Mac [ Happy International Women’s Day ]

Selamat hari wanita untuk semua insan yang bergelar wanita. Dedikasi ucapan ini khas untuk wanita yang paling istimewa dalam hidup aku. MAK! Mak, Selamat hari wanita. Didoakan mak diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa di bawah lindungan serta rahmat Allah hendaknya.

Emak adalah seorang wanita yang tabah. Mak juga wanita yang cekal. Aku salute mak banyak-banyak. Dari kecil hidup susah tapi mak tak pernah mengeluh. Mak punya ramai adik beradik. Ada sebelas orang semuannya. Mak bersekolah sehingga darjah tiga sahaja. Masa mudanya banyak dihabiskan dengan membantu nenek bersawah. Kadangkala mak ikut atuk ke laut menangkap ikan.  Betapa susahnya kehidupan mak masa dulu tak dapat aku nak gambarkan.

Mak pernah cerita, dulu-dulu nak makan pun susah. Dengan adik beradik yang ramai makanan selalu dicatu dan berkongsi sama banyak dengan yang lain. Ubi kayu dan ulam-ulaman memang hidangan biasa keluarga besar mak. Mak tak pernah mengeluh dengan kehidupan yang dilaluinya dahulu. Tapi mak selalu bangga bercerita mengenai keluarganya. Mak sayang mak dan abahnya (atuk dan nenek aku). Itu aku tahu. Setiap kali bercerita fasal mereka, mesti ada air di tubir matanya. Mak rindukan mereka.


Mak tak sempat berbakti sepenuhnya kepada mak dan abahnya. Atas keterbatasan waktu disebabkan berkerja dan kekeangan kewangan untuk menyara kami adik beradik. Tapi aku masih ingat, adakala di hujung minggu kami ramai-ramai naik bas pergi melawat atuk dan nenek di kampung. Walaupun gaji mak kecil pada waktu itu tapi setiap kali balik kampung mesti ada sedikit wang yang mak hulurkan. Walaupun nilainya tidak banyak tapi ia mampu buat nenek tersenyum.

Nenek dan atuk telah lama pergi meninggalkan kami. Hampir dua puluh tahun lamanya tapi ingatan dan doa mak kepada mereka tidak pernah putus. Apa saja perkara yang baik-baik mak buat selalu mak sedekahkan kepada atuk dan nenek. Mak belum pergi Haji lagi tapi mak telah menghajikan atuk dan nenek dengan wang simpanannya. Aku puji sikap mak yang baik hati. Mak kata kalau adik beradik lain tak mampu buat, biar mak yang buatkan.

Mak bukanlah bergaji besar tapi duit simpanannya cukup untuk menghajikan atuk dan nenek. Ini yang dikatakan keberkatan gaji. Sedikit tapi nilainya dapat dimanfaatkan untuk orang lain. Mak pergi umrah pun mak buat umrah untuk atuk dan nenek juga. Setiap kali nak masuk bulan Ramadhan, mak mesti buat tahlil untuk arwah atuk dan nenek. Kalau mak teragak nak buat kenduri, mesti mak buat tahlil untuk atuk dan nenek juga. Pendek kata apa yang mak nak buat mesti dia akan teringatkan atuk dan nenek. Semua pahala kebaikan yang dibuat akan disedekahkan pada atuk dan nenek. Sungguh mulia hati mak.

Mak memang suka bersedekah. Mana-mana masjid yang dia pergi mesti disedekahkan duit. Kadangkala hari Khamis malam Jumaat mak masak untuk bagi kat surau atau masjid. Aku perasan kalau balik cuti, hari Jumaat mesti mak kirim duit pada adik atau suami aku untuk disedekahkan ketika solat Jumaat. Yang paling aku terharu, mak mesti bagi kakak-kakaknya (mak saudara aku) duit setiap kali hari Raya atau ketika menziarah mereka di rumah. Aku bangga dengan mak, banyak yang aku belajar dari mak.

Aku mahu mencontohi setiap satu sikap terpuji mak. Banyak lagi kebaikan mak yang tidak diceritakan. Tentang pengorbanan mak kepada kami adik beradik. Tentang susah payah mak membesarkan kami. Tentang sakit yang mak tanggungi sekarang. Banyak. Terlalu banyak jika hendak diceritakan. Tapi yang pastinya, selagi mak hidup aku mahu menggembirakan hati mak. Aku nak mak hidup bahagia. Aku nak bagi mak makan yang sedap-sedap. Aku nak bawak mak pergi melancong jauh-jauh. Semua aku nak buat untuk mak.

Untuk mak, wanita yang paling aku sayang… Ketahuilah, anakmu ini sangat menyayangimu. Walapun kita berjauhan, ingatan dan doa buatmu mak tidak pernah putus. Aku sangat menghargai kasi sayang dan pengorbananmu selama ini. Didoakan mak dilanjutkan usia untuk kebaikan, diberikan kesihatan yang baik untuk beribadah dan sentiasa di dalam perlindungan Allah. Amin. Jasamu tidak terbalas.

Selamat Hari Wanita Mak!!!

0 comments:

Copyright © NOR AZIZAH ZAINUDIN | Powered by Blogger
Design by Blog Oh! Blog | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com